Friday 28 December 2018

Walaupun Mak Ayah Tak Kisah, Jangan ‘Hambakan’ Mereka Untuk Jaga Anak Kita. Ini 5 Sebabnya

Walaupun Mak Ayah Tak Kisah, Jangan ‘Hambakan’ Mereka Untuk Jaga Anak Kita. Ini 5 Sebabnya


“Lecehnya pengasuh aku ni. Baru hantar anak 2-3 bulan, nak cutilah, nak suruh datang ambik awallah, minta bayar lebihlah. Macam-macam karenah. Senang aku minta mak ayah aku jaga je senang. Baik bagi mak bapak duit daripada bagi orang lain.”
Zaman sekarang ini, lelaki perempuan dah bekerja. Disebabkan itu, isu penjagaan anak menjadi suatu cabaran bagi mereka yang tidak mempunyai banyak pilihan. Ada juga yang fobia dan memang jenis tak percaya pada orang luar untuk jagakan anak.
Salah satu jalan penyelesaian yang memudahkan adalah meminta mak ayah kita untuk tolong menjagakan anak. Ada banyak sebabnya kita patut mempertimbangkan keputusan tersebut dengan lebih mendalam.

5 SEBAB JANGAN ‘GUNAKAN’ MAK AYAH SEBAGAI PENGASUH ANAK KITA

Tak dinafikan sesetengah orang tua memang tak kisah menjaga cucu kerana berasa sunyi dan ingin meluangkan masa senggang mereka. Namun begitu, ada beberapa sebab kenapa kita tak digalakkan untuk menjadikan mak ayah sendiri sebagai pengasuh anak-anak kita.

1. MAK AYAH TAK SAMPAI HATI NAK MENOLAK

Pertama sekali, mungkin mereka sendiri keberatan untuk menjaga cucu walaupun mereka tak pernah cakap begitu. Bayangkan saja tubuh mak ayah kita yang sudah tua. Makin banyak penyakit datang bertandang. Sudahlah kita tak ambil tahu tentang penyakit dan ubat-ubatan mereka, ini pula mahu menambah lagi beban pada mereka.
Takkan tak faham, anak-anak kita aktif dan banyak ragamnya – kalau kita yang menjaganya pun dah rasa penat, mereka apatah lagi. Namun hati mak ayah biasanya lembut. Sebolehnya mereka tentulah mahu menggembirakan anak cucunya. Tak sampai hati nak cakap ‘tak nak’!

2.  BERI PELUANG UNTUK MEREKA FOKUS BERIBADAH

Siapa kata mak ayah tak ada aktiviti sendiri bila duduk di rumah? Kalau boleh, mereka nak luangkan lebih banyak masa untuk beribadah, pergi berjemaah di masjid dan mengikuti majlis-majlis ilmu. Ada yang suka pergi melancong, memasak, bertukang, dan sebagainya. Bila ada masa terluang, banyak juga kerja rumah yang perlu diuruskan sehari-hari.
Walaupun mak ayah dah bersara dan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa, biarkanlah mereka. Mungkin itulah yang mereka idamkan daripada hasil kerja keras selama ini. Sejak dulu mak ayah dah penat mengasuh dan membesarkan kita adik-beradik, berilah peluang untuk mereka ‘bersara’ juga.
cara solat duduk

3. MAK AYAH BERHAK DIBERI NAFKAH, BUKAN UPAH

Sama ada mengupah mereka atau tidak, itu soal lain. Ibu ayah kita berhak mendapat nafkah daripada anak-anak sekiranya mereka berada dalam keadaan memerlukan dan anak-anak pula berkemampuan.
Jadi penting untuk kita faham di sini bahawa kita sebagai anak sememangnya patut menjaga kebajikan mak ayah tanpa mengenakan sebarang syarat; seperti menggajikan mereka kerana menjagakan anak-anak kita.

4. MEREKA SUSAH NAK BERITAHU KALAU ADA APA-APA YANG TAK KENA

Dah menjadi lumrah datuk dan nenek tentu akan manjakan cucu, lebih-lebih lagi yang rapat dengan mereka.
Berbeza dengan pengasuh, mereka yang mempunyai pertalian darah ini mungkin lebih sukar menegur jika ada sebarang kesilapan. Takut-takut tersilap cakap boleh buat merajuk, tak bertegur sapa, dan timbul salah faham. Biasalah kalau ada orang marah anak kita, mesti ‘sentap’ juga kan?

5. KITA PATUT BELAJAR BERDIKARI

Akhir sekali, berundinglah sesama suami isteri dan cuba selesaikan masalah ini sendiri tanpa melibatkan mak ayah. Kalau sementara, boleh dimaafkan juga. Tapi, jangan sampai mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka.
Belajarlah berdikari dan uruskan keluarga sendiri. Apa salahnya upah orang gaji kalau semua pengasuh tak ‘ngam’ dengan cara kerja kita. Taska pun dah banyak yang buat perkhidmatan penjagaan anak sampai ke petang. Zaman sekarang, dah banyak medium yang meluas boleh digunakan untuk mencari perkhidmatan asuhan yang berkualiti.
Jadi, jangan gunakan alasan demi alasan untuk membebankan ibu ayah untuk menjaga anak-anak kita.
pengasuh bayi

MEMANG MAK AYAH TAK AKAN CAKAP APA-APA….

Di kala kita suami isteri sibuk mengejar kerjaya dan mengumpul harta, jangan lupa bahawa ada bahagian kita untuk berbakti terhadap ibu bapa. Ya, mungkin kita memberi mereka ‘upah’ yang lumayan untuk menjagakan anak-anak kita, tapi adakah itu yang mak ayah kita mahu? Adakah mereka benar-benar rela dan mahu membuat kerja-kerja sedemikian di usia yang lanjut begitu?
Dek kerana sayangkan anak, mak ayah menurut saja permintaan kita walaupun mereka sendiri rasa terbeban. Sedar tidak sedar, kita menjadi ‘Tuan’ mereka hingga kita lupa terhadap tanggungjawab kita untuk berbelas ihsan kepada mereka.
Jadi, jangan buat tak ‘faham’ saja, cubalah prihatin terhadap keperluan mak ayah kita!

Bergaduh Macam Mana Pun, Ini 5 Sebab Suami Isteri Jangan Tidur Berasingan

Bergaduh Macam Mana Pun, Ini 5 Sebab Suami Isteri Jangan Tidur Berasingan


“Alamak, merajuk lagi bini aku. Tidur luarlah nampaknya aku malam ni… Aduhai…”
Senario ini mungkin boleh dikatakan biasa kita tengok dalam drama Melayu. Tapi hakikatnya, semakin ramai pasangan yang mula tidur berasingan walaupun bukannya sebab bergaduh. Bahkan, laporan The Telegraph mendedahkan bahawa pasangan mula tidur berasingan selepas tempoh 3 tahun setengah berkahwin.

5 SEBAB SUAMI ISTERI JANGAN TIDUR BERASINGAN

Ada yang rasa tak selesa di bilik, lebih suka tengok TV di luar, atau tak tahan dengan dengkuran pasangan. Mungkin anda menganggap bahawa ia adalah perkara kecil dan tidak perlu diperbesarkan. Namun, ini adalah antara sebab anda harus mempertimbangkannya semula.

1. ANDA AKAN KEHILANGAN MASA PALING BERHARGA BERSAMA

Menurut Psychology Today, waktu sebelum masuk tidur adalah waktu yang kritikal dan mungkin masa yang paling berharga bagi kebanyakan pasangan.
Ini kerana, waktu inilah pasangan akan mula berada dalam mode relaks. Dalam tempoh ini, perbualan yang sihat akan berlaku, kemesraan akan terjalin, dan masalah dapat dibincangkan bersama. ‘Pillow talk’ sebegini walaupun dianggap santai, tapi sebenarnya akan memupuk keintiman, rasa percaya, dan mengekalkan kasih sayang dalam rumah tangga.

2. MEMPENGARUHI ‘MOOD’ HARIAN PADA KEESOKANNYA

Apabila masing-masing buat hal sendiri, mereka cenderung untuk masuk tidur lebih lewat kerana terlalu leka. Bila bangun keesokannya, kebanyakan pasangan akan berasa macam ada sesuatu yang tak kena.
Penyelidikan juga membuktikan bahawa ‘mood’ seharian boleh terjejas dan emosi juga boleh terganggu akibat perasaan yang tidak tenteram, terutamanya di kalangan wanita.

3. CENDERUNG BERLAKU SALAH FAHAM

Apabila bermulanya tabiat tidur berasingan ini, pasangan biasanya semakin kurang berkomunikasi. Bayangkan, waktu siang masing-masing sibuk dengan kerja. Bila balik ke rumah, sibuk pula menguruskan anak. Maka, waktu malam sebelum tidur saja merupakan waktu yang ada untuk pasangan.
Jika waktu ini kerap dikorbankan, tiadalah quality time untuk anda berdua. Hari ke hari, rasa makin kurang memahami si dia. Akibatnya, kadar stres dalam akan hubungan semakin menjadi-jadi hingga sekecil-kecil hal pun boleh mengakibatkan pertengkaran hebat.

4. CONTOH YANG TIDAK BAIK KEPADA ANAK-ANAK

Rutin tidur yang baik bukan saja penting kepada anda berdua, tetapi juga kepada anak-anak. Kalau anak-anak terjaga waktu malam dan nampak ibu ayah mereka tidur berasingan, apa pula kata mereka?
Mereka juga mungkin terganggu dengan bunyi bising atau lampu daripada pancaran TV di ruang tamu. Malah, mereka juga boleh terikut-ikut dengan perangai kita.Sedangkan kita tahu bahawa tidur nyenyak adalah amat penting untuk mereka. Semua ini akan memberi kesan kepada perkembangan dan emosi anak-anak apabila mereka besar kelak.

5. RUMAH TANGGA MULA HAMBAR

Barton Goldsmith Ph.D, pula berpendapat faedah tidur sekatil bersama pasangan bukanlah kerana seks semata-mata.
Dalam sebuah penelitian, pasangan yang paling gembira dengan hubungan masing-masing adalah mereka yang tidur dalam jarak 1 inci atau kurang, berbanding mereka yang tidur dengan jarak 30 inci antara satu sama lain. Maksudnya, lebih rapat anda ‘berhimpit’, lebih bahagialah hubungan anda!
Sebaliknya apabila masing-masing leka dengan hal sendiri, tak hairanlah hubungan akan menjadi hambar dan dingin. Malah, tak mustahil anda akan mula berfantasi dan mengembangkan perasaan terhadap orang lain.

TEMPAT TIDUR BERSAMA PATUT MENJADI RUANG PALING SELESA

Terbukti, sains dan psikologi juga menyarankan agar semua pasangan mengekalkan tabiat tidur sekatil walaupun hubungan telah lewat usia. Tapi bila dah sekatil, jangan pula asyik dengan gajet masing-masing sampailah lewat malam.
Pandanglah wajah pasangan. Tanyakan tentang hari mereka. Berguraulah. Berpelukanlah. Biarlah tempat tidur bersama menjadi tempat kita untuk kita ‘recharge’ dan berasa lebih gembira – bukan sebaliknya!

Wahai Mama, Jangan Rasa Bersalah Minta Suami Buat Kerja Rumah

Wahai Mama, Jangan Rasa Bersalah Minta Suami Buat Kerja Rumah


“Penatnya buat kerja-kerja rumah ni. Nak tengok budak-budak tu lagi. Tapi nak buat macam mana… Takkan nak susahkan suami. Dia dah sibuk dengan kerja dia. Nanti stres pulak.”
Walaupun kita dah melangkah ke dunia moden, kerja rumah masih lagi dilihat sebagai tanggungjawab utama seorang isteri – tak kiralah sama ada isteri bekerja mahupun seorang surirumah – seperti yang dilaporkan oleh banyak kajian.
Mungkin disebabkan keegoan lelaki atau rasa bersalah untuk meminta suami membuat itu ini, si isteri tetap setia melakukan segala kerja rumah hingga mengorbankan segala masa dan tenaganya. Sesekali bila disuruh dikatanya pula kita ni membebel. Inilah dilema yang selalu dirasai oleh kebanyakan wanita bergelar isteri.

5 SEBAB JANGAN RASA BERSALAH MINTA SUAMI BUAT KERJA RUMAH

Sebenarnya, anda tak perlu rasa bersalah untuk membahagikan tugas dan meminta tolong daripada suami untuk melakukan kerja rumah.

1. BEBAN KERJA RUMAH TAK PERNAH HABIS

Realiti pertama yang perlu dihadam oleh suami adalah betapa banyaknya kerja rumah dan ia takkan pernah habis. Tak ada istilah ‘cuti’ untuk isteri, lebih-lebih lagi yang dah bergelar ibu.
Malah, kalau anda perasan, kebanyakan kerja rumah ini seakan-akan ‘invisible’ –  contohnya mengemas, memasak, mencuci, dan menghantar anak ke sekolah. Kalau kita buat orang tak nampak, tapi kalau kita tak buat, barulah semua orang dalam rumah akan rasa perbezaannya.

2. SUAMI BELAJAR LEBIH MEMAHAMI

Apabila suami belajar menguruskan anak dan kerja rumah, sedikit sebanyak mereka dapat lebih memahami kesusahan serta kepayahan isteri.
Jika tidak, mungkin ada yang masih berfikiran kolot dan beranggapan bahawa isterilah yang sepatutnya menyiapkan semua kerja rumah. Lebih menyedihkan, isteri yang menjadi surirumah langsung tak dihargai dan diperli asyik ‘goyang kaki’semata-mata kerana mengharapkan nafkah dari suami.
Suami malas kerja, duit kereta sudah enam (6) bulan tidak bayar

3. MENGUKUHKAN RUMAH TANGGA

Dalam hasil penyelidikan baru-baru ini, kajian mendapati bahawa penglibatan suami terhadap kerja rumah dan penjagaan anak-anak mampu mengukuhkan rumah tangga.
Ia juga terbukti membantu mengurangkan kes penceraian selain menjadi tunggak kepada kestabilan emosi kedua-dua pasangan.

4. SUAMI ADALAH CONTOH KEPADA ANAK-ANAK

Seorang ketua keluarga yang baik tentu sekali tidak akan mengambil kesempatan terhadap ahli atau anak-anak buahnya. Mereka amanah dalam memegang tanggungjawab terpenting dalam rumah tangga. Mereka memastikan kesemua ahlinya berasa gembira, selamat, dan terjamin. Mereka bijak mendelegasikan tugas, menyumbang, dan tidak sekadar mengarah,
Tapi kalau hal menguruskan diri sendiri pun asyik harapkan isteri, bagaimana anak mahu mencontohi kepimpinan mereka?
peranan bapa

5. ANAK-ANAK RINGAN TULANG

Jangan ingat anak-anak tak faham apa-apa walaupun mereka masih kecil. Percayalah, mereka lebih mudah mengikut apa yang kita buat berbanding apa yang kita bebelkan setiap hari.
Dengan melihat kerjasama antara ibu dan ayah mereka, pastinya anak-anak akan membesar dengan sifat toleransi, berdikari, dan empati yang tinggi.
berjaya dalam hidup

HARGAI USAHA SUAMI

Tak dinafikan ramai juga suami yang sangat rajin dan sangat menyantuni isteri. Beruntunglah anda.
Ada juga suami yang mahu menolong tetapi tak tahu nak mulakan dari mana. Bantulah mereka. Fahamkan mereka. Berbincanglah elok-elok. Bila suami dah tolong, sebaiknya hargailah usaha mereka. Walaupun awal-awal tak perfect mana, itulah juga bukti kecintaan mereka kepada anda!

‘Alert’! Para Suami Kena Tahu 5 Sebab Jangan Biarkan Isteri Tak Cukup Tidur

‘Alert’! Para Suami Kena Tahu 5 Sebab Jangan Biarkan Isteri Tak Cukup Tidur


“Awak jelah urus anak nangis nak minum susu tengah malam tu, saya nak tidur lah”
“Asyik saya je, awak sebagai suami pun kena tolong saya juga…”
Bertolak ansur antara suami isteri adalah salah satu kunci utama dalam perkahwinan. Mana tidaknya, kalau sifat ini tidak diamalkan memang akan berlaku situasi berat sebelah dalam menjalankan tanggungjawab. Kalau asyik semua sahaja isteri yang buat, rehat dan tidur pun tak cukup. Bila tidur tak cukup, si isteri akan kelihatan letih, kurang berseri dan badan pun cepat naik. Haa! Mulalah si suami nak pandang orang lain!

JANGAN BIARKAN ISTERI TAK CUKUP TIDUR

Semalam saya biar je isteri saya tidur dulu. Saya pula yang ambil giliran tidurkan anak-anak. Ada 5 sebab kenapa saya taknak isteri saya selalu tidur lambat dan tak cukup tidur.

1. SAYA KAN NAK ISTERI SAYA KEKAL RAMPING.


Saya tahu kalau selalu tidur lambat ni akan membuatkan isteri saya gemuk ( obesity ). Ada kajian pada tahun 2004 mengatakan mereka yang tidur kurang daripada 6 jam lebih berisiko untuk gemuk dibandingkan mereka yang tidur lebih daripada 6 jam.

2. SAYA KAN NAK ISTERI SAYA CANTIK MACAM BIDADARI DI DEPAN MATA SAYA.


Saya tahu tak cukup tidur hanya akan membuatkan hormon cortisol ( stress hormone ) dalam badan dia makin banyak. Cortisol ni akan break down kolagen pada kulit tau. Makin cepat kurang kolagen, makin tak elastic dan tak mulus la kulit isteri saya. Bahasa mudahnya adalah, MAKIN CEPAT TUA! Aduh!

3. SAYA JUGA TAKNAK ISTERI SAYA PELUPA.


Saya sangat perlukan seorang isteri yang boleh ingatkan saya ketika saya terlupa. Kalau dua-dua pelupa memang kucar kacir rumahtangga. Tahu tak, tak cukup tidur ni boleh buatkan seseorang tu jadi pelupa? Longterm memory otak lebih mudah terbentuk pada level tidur yang paling dalam sekali. Kalau kurang tidur, kucar kacir la sistem memori tu.

4. SAYA TAKNAK ISTERI SAYA STRESS, DEPRESI DAN MENGALAMI MOOD DISORDER.


Saya tahu biasanya orang ada penyakit depression dan anxiety ni biasanya tidur kurang daripada 6 jam sehari. Saya nak mood isteri saya stabil dan bahagia kerana saya percaya mood bahagia isteri saya akan mempengaruhi mood saya dan anak-anak juga.

5. SAYA TAKNAK ISTERI SAYA SAKIT-SAKIT.


Kekurangan tidur yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit yang sangat fatal antaranya :
– serangan jantung
– risiko nak kena darah tinggi meningkat
– risiko nak kena kencing manis meningkat
– sistem imun pun jadi makin lemah
*Jadi saya pesan sangat kepada diri sendiri dan para suami semua, tengok tengokkanlah kualiti tidur isteri kita ye terutamanya yang ada anak kecil. Tak salah pun bergilir jaga anak kan. Tolong sampaikan pesanan ni ye.

“Bingitnya Dengar Suara Anak Bising”- Ini Sebabnya Si Isteri Perlukan ‘Time Off’ Dari Suami

“Bingitnya Dengar Suara Anak Bising”- Ini Sebabnya Si Isteri Perlukan ‘Time Off’ Dari Suami


“Adoi, pening lah kepala kadang-kadang nak hadap anak-anak buat bising dekat rumah. Nak kemas rumah lagi…”
Memang sudah menjadi adat buat si ibu untuk berhadapan dengan situasi dimana anak-anak membuat bising, menyelerakkan rumah dan bermain tanpa henti. Kadang-kadang sampai pening kepala dengan baru balik kerja nak berehat tapi nak kena kemas rumah lagi. Si ibu perlukan time off juga!

TIME OFF BUAT ISTERI

Ada satu hari tu, tak tahu kenapa tiba-tiba otak rasa tepu sungguh. Bila anak-anak menjerit bergaduh & kemudian masing-masing menangis membuatkan terasa begitu bingit mencucuk kepala & serabut sungguh. Saya cuba untuk calm down dengan istighfar & kawal pernafasan, tapi akhirnya terasa semakin teruk.

INNER PEACE SEDANG KACAU BILAU.


Astaghfirullah. Ya Allah… rasa nak lari. Nak lari kejap dari keserabutan ni. Akhirnya, terus mesej suami. “Abang, boleh tak harini lepas maghrib, nak minta izin keluar sekejap. Time-off. Alone.” Mulanya suami ralat juga sebab isterinya ini rabun & ada T-junction yang menjadi lokasi banyak kemalangan. Ditawarkan untuk belanja makan, bawa jalan-jalan untuk menceriakan hati isteri. Namun, hari itu, si isteri ini tak rasa tertawan dengan pelawaan itu.
“Okay, tak apalah. Pergilah. Tapi drive jangan ikut jalan yang tu. Ikut jalan lagi satu. Drive safe. Nanti abang jagakan anak-anak,” Akhirnya suami yang baik hati mengalah.
Alhamdulillah, pulang ke rumah, suami menunaikan janjinya. Suami take over everything. Disuruh isteri bersiap. Dalam anak-anak leka dengan abinya, saya terus menyusup keluar bagaikan The Flash. Start enjin kereta, drive slowly. Terasa senyap sahaja dunia. Terus buka radio.
Dapat dengar butir di radio tanpa celahan suara jeritan anak-anak yang bergaduh. Dapat ikut sama menyanyi lagu nasyid di radio yang kebetulan pernah dulu dihafal liriknya. Dapat sight-seeing tanpa hati berdebar risaukan keselamatan anak-anak semasa memandu. MasyaAllah…… macam nak berair mata. Preciousnya detik itu. Bersyukurnya rasa. Rasa lega seperti melepaskan satu beban berat dari atas kepala.

KADANG-KADANG KITA PERLU JUGA ESCAPISM

Bukan kita tak dapat terima kenyataan yang kita sekarang bergelar ibu & isteri yang akan menyerahkan seluruh masa, tenaga & hidup untuk anak-anak & suami. Tetapi kadangkala, kita memang perlu sangat ‘escapism’ dari perkara rutin, jerit pekik, gaduh anak-anak yang sedang melasak.
Alhamdulillah selepas uruskan urusan pengeposan barang customer (yang selalu diselesaikan oleh suami), saya kembali ke rumah dengan perasaan yang lebih stabil. Buka pintu rumah & dengar suara anak-anak meminta perhatian abi yang berada di dapur, subhanallah, rasa sungguh rindu & sayang. Emosi berubah terus 360 darjah berbanding sebelum keluar tadi. Saya ke dapur dengan senyuman. Suami juga tersenyum bila melihat saya nampak ceria. Saya peluk suami yang sedang memasak sambil sebelah tangan mendukung Insyirah & ucapkan terima kasih.
“Dah okay dah? Happy tak?” Tanya suami dengan prihatin.

Alhamdulillah, 20 minit yang berharga. Ibu-ibu yang duduk di rumah, kalau kita dah rasa tak tertanggung, berbincanglah, mintalah time-off sekejap dari suami. Percayalah…. insyaAllah kita akan rasa lebih baik. Jagalah ‘inner peace’ kita. Kalau kita dah start asyik nak marah anak. Dah tak boleh nak senyum. Mula rasa nak memukul anak bila anak menangis, minta dilayan… itu tandanya inner peace kita dah kacau bilau. Bahaya.. bahaya..

JANGAN RASA RENDAH DIRI MINTA TIME OFF DENGAN SUAMI


Anak-anak perlukan ibu yang stabil emosi & bahagia untuk mereka membina bahagia mereka juga. Jangan rasa rendah diri jika minta time-off dari suami, jangan bandingkan diri kita dengan orang yang kadang kata mereka tak perlukan me-time, mereka memang taknak berpisah dengan anak-anak. Jangan… kita bukannya sedang bertanding siapa supermom & siapa tidak. After all, we are just a human. Kalau kita tak tahan, kita rehat. Jujurlah dengan diri sendiri, untuk jaga kestabilan & kebahagiaan ‘inner peace’ kita.
Para suami pula, beralahlah dengan isteri. Kasihanilah isterimu. Mereka tak minta banyak pun. Kadang cuma minta 5 minit untuk mereka mandi & menguruskan diri tanpa gangguan si kecil yang tak mahu berenggang sepanjang hari. Malam nanti apabila kalian sedap berdengkur pun isteri kalian tak nyenyak tidur bangun menyusukan anak-anak selang sejam, selama bertahun-tahun.

Jangan pula dikatakan isteri itu mengada-ngada. Jangan pula dikeji hina seolah isteri yang duduk di rumah itu tiada sumbangan apa-apa. Isteri itu cuma meminta pertolongan agar ‘taufan’ dalam dirinya dapat diredakan. Bantulah mereka wahai lelaki yang budiman!
Kadang ada suami approve time-off sampai berjam, tetapi si isteri ni sebenarnya kalau dapat 15-20 minit keluar ke stesen minyak atau kedai eco RM2.12 pun dah rasa gembira ya robbi. Wallahi! Sesungguhnya di belakang isteri yang happily married, emotionally & mentally stabilized, ada seorang suami yang tak pernah lokek untuk berlebih kurang.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Si Isteri Perlu Cuba 5 Teknik Ini Jika Suami 24 Jam Asyik ‘Melekat’ Dengan Telefon Bimbit

Si Isteri Perlu Cuba 5 Teknik Ini Jika Suami 24 Jam Asyik ‘Melekat’ Dengan Telefon Bimbit 


Setiap kali bercakap dengan suami boleh diibaratkan seperti bercakap dengan dinding bila mereka tengah leka main telefon bimbit. Entah apa yang dibuatnya sampai terlampau asyik dan langsung tidak mengendahkan keadaan sekeliling. Macam mana nak tarik perhatian suami supaya mereka tak terlampau fokus dengan gajet ni? Untuk para isteri, ini adalah 5 teknik yang anda boleh cuba untuk tarik perhatian suami dari asyik bermain telefon bimbit sahaja. Jom cuba!

ASYIK MAIN HANDPHONE SAJA SUAMI AKU NI…

Ramai rupanya isteri ada masalah suami asyik sangat main handphone sampai takde masa nak layan isteri. Saya mengaku saya pun dulu tergolong dalam golongan suami yang macam tu. Orang bisnes memang matanya macam kena pukau dengan skrin handphone sikit tapi kalau si isteri tahu cara nak atasinya, memang benda ni ada ubatnya.

NI SAYA NAK KONGSI 5 TEKNIK YANG ISTERI SAYA PAKAI UNTUK TACKLE SAYA BALIK

1. Dia akan berhias cantik macam puteri raja. Dia tahu lelaki ni akan kalah dengan visualnya sendiri. Memang dia tahu kelemahan suami adalah pada matanya jadi dia gunakan benda ni untuk mengalahkan godaan handphone tu.
2. Dia akan banyak bertanya. Sebenarnya dia nak alihkan perhatian saya je tapi memang berkesan la sebab otak lelaki ni bukan multitasking macam perempuan. Tak ramai lelaki yang ada bakat untuk jawap soalan sambil main handphone. Kena fokus buat satu benda je.
3. Dia ajak ajak saya berjalan ataupun keluar makan. Saya kan memang driver tetap dia. Mana la kita mampu nak drive sambil main handphone kan. Kadang-kadang handphone pun kita campak entah ke mana kalau nak memandu.
4. Dia akan guna kabel charger kita ataupun buat-buat pinjam powerbank kita. Suami ni pulak kalau isteri dah minta nak pinjam takkan tak bagi kan. Jadi termagu la kita seharian sambil menunggu handphone si dia dicas penuh.
5. Dia akan guna apa sahaja cara untuk distract perhatian saya terhadap handphone. Tiba-tiba je dia boleh masuk ke bilik sambil bawa buah epal la buah anggur la semata-mata nak alihkan perhatian saya. Paling dasyat sekali dia bawak masuk anak-anak. Mana boleh tahan! Comel kot! Terus saya letak handphone dan peluk cium anak saya! Argh!

BERITAHU SUAMI ELOK-ELOK

Apa pun kita kena educate suami masing-masing tentang Electronic Screen Syndrome. Bagitahu suami elok-elok atau share artikel ni kat suami tentang efek buruk kalau duk mengadap je skrin handphone dan laptop tu. Antaranya :
– Menyebabkan penurunan kemampuan kognitif
– Mata jadi kering dan retina mata boleh rosak
– Susah nak tidur
– Emosi tak stabil
– Lebih cenderung untuk kena Metabolic Syndrome seperti Kencing Manis, Kegemukan dan Tekanan Darah Tinggi
Jangan risau, biasanya orang yang kurang sensitif dengan perasaan orang lain ni akan mudah tersentak dan insaf bila dia tahu benda ni ada efek buruk pada dirinya sendiri juga nanti.

2% Pun Berkira, Ini Jumlah ‘Gaji’ Yang Selayaknya Diterima Surirumah

2% Pun Berkira, Ini Jumlah ‘Gaji’ Yang Selayaknya Diterima Surirumah


Dah nama pun surirumah, manalah ada gaji kan?
Ya, itulah yang masyarakat tak faham. Memang betul, surirumah ini hanya duduk di rumah dan ‘TIDAK BEKERJA’ secara rasminya dengan majikan. Bila tak kerja, tak dapat duit. Bila tak dapat duit, surirumah dianggap tidak menyumbang kepada ekonomi keluarga

PEKERJAAN SURIRUMAH BOLEH MENCECAH ‘GAJI’ 30K SEBULAN

Menurut tinjauan Salary.com yang dilaporkan oleh FORBES, seorang ibu surirumah sekurang-kurangnya memegang 10 peranan dalam sebuah keluarga.
Antaranya peranan tersebut termasuklah seorang guru, pengasuh anak, pengurus, tukang masak, pencuci & pembersih rumah, pemandu, dan sebagainya. Semua ini memerlukan kemahiran yang berbeza dan sudah pasti ia bukannya mudah untuk dilakukan secara konsisten setiap hari.
Oleh sebab itu, pakar berpendapat bahawa masa yang diluangkan beserta kemahiran yang mereka miliki ini sebenarnya melayakkan mereka menerima sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan. Bahkan, bergantung pada pelbagai lagi kerja-kerjaextra yang mereka lakukan, ‘gaji’ seorang surirumah boleh mencecah USD 115,000 setahun , iaitu sekitar RM 30,000 sebulan. 

TAK PERNAH ADA OFF DAY

Menurut laporan itu lagi, para ibu surirumah meluangkan sekurang-kurangnya 97 jam seminggu untuk melakukan pelbagai kerja – malah mereka sentiasa on call dan tak pernah mempunyai hari cuti walaupun sakit atau perlu menyelesaikan urusan tertentu.
Kita boleh lihat sendiri situasi yang selalu berlaku, dalam keadaan terdesak ibu tetap membawa anak-anak kecil untuk membeli keperluan rumah, pergi check-upmengandung, atau menyelesaikan urusan tertentu di pejabat-pejabat awam. Walaupun nampak biasa, tapi hanya seorang ibu yang tahu rasa ‘macam baru balik berperang’ setiap kali sampai di rumah.
Walaupun ibu tengah sakit, anak-anak biasanya tetap mahukan ibu untuk layankan mereka, temankan mereka, dan buatkan macam-macam untuk mereka walaupun si ayah tengah relaks tengok TV dan minum kopi di depan.
pengalaman anak pertama

KERJA YANG PERSONALISED

Selain itu, kerja yang dilakukan seorang surirumah juga sangat rapi dan sentiasa menepati citarasa setiap ahli keluarga dalam rumah. Bayangkan kalau kita upah orang lain untuk lipat baju, memasak, tuisyen, dan sebagainya. Tentu rasa ‘lain macam’ kan? Ini kerana cara mereka buat kerja tak sama dengan apa yang kita dah biasa.
Dalam hal memasak contohnya, ibu lebih tahu apa yang anaknya suka makan, apa yang nak diasingkan, bagaimana ia patut dihidangkan. Cuba kalau kita minta macam-macam masa order di warung, ada masa dia nak layan semua request macam tu? Begitu juga halnya dalam bab-bab lain seperti menguruskan rumah. Semuanya serba rapi dan sistematik untuk semua. Patutlah kalau ada apa-apa yang hilang, tanya saja dekat ibu. Mesti dia akan tahu!

JADI, TAKKAN 2% PUN NAK BERKIRA?

Ternyata, memang banyak pekerjaan yang dilakukan oleh surirumah setiap hari. Malah, banyak masa yang telah dikorbankan termasuklah masa serta kehidupan sosial mereka sendiri. Semuanya semata-mata untuk berada di rumah dan menguruskan keperluan keluarga.
Maka, para suami perlu cuba betulkan perspektif anda. Sebenarnya jika isteri anda seorang surirumah, anda telah menjimatkan wang beribu-ribu ringgit untuk mengupah orang lain melakukan SEMUA pekerjaan yang mereka lakukan sepanjang hari.
Sesuai dengan itu, elok sangatlah inisiatif kerajaan baru ini untuk mewujudkan KWSP sebagai tabung simpanan bagi surirumah. Ia bukan saja tanda penghargaan kepada ibu-ibu, sedikit sebanyak ia juga dapat meringankan beban sekiranya pasangan mereka ‘lupa’ menabung untuk ‘hari persaraan’ isteri tercinta. Kalau tak dapat bagi macam-macam sekarang, sekurang-kurangnya tetap ada simpanan di masa depan